Maktab Sains yang ku kenang - Tulis AlMarhum Cikgu Haji Mokhtar bin Hj. Md. Yassin
Assalamualaikum teman-teman sekalian. Ketika ku mendapat buku BAKA keluaran Maktab Sains Edisi tahun 2000, perasaanku masih terharu dengan pemergian Ayahanda Tersayang. Jiwaku masih sedih. Ya..aku bersabar..Ya aku tenang..Ya aku berzikir..kerana itulah ANTARA perkataan yang akan keluar dari rakan-rakan yang prihatin, rakan yang simpati. Di fikiranku cuma doa dan harapan bahawa kini Ayahanda tersayang sudah tidak merasa sakit lagi. Kewafatan beliau dalam usia yang masih dianggap 'muda' oleh sesetengah rakan beliau, menjadikanku lebih hiba. Usia 65 tahun bukanlah satu usia yang terlalu 'emas' namun inilah kata-kata yang menjadi pengubat rindu..pengubat dukaku..Allah lebih menyayanginya. Sering kufikirkan bahawa ramai yang pergi sebelum bapa..orang baik-baik..orang yang indaku sangka kan meninggal. Namun itulah hakikatnya, yang juga sering ku dengar; orang baik-baik sering dipanggil awal, apatah lagi ditambah dengan rintihanku yang gembira dalam duka; kita pa inda merasa sakit lagi..inda lagi kita sakit kepala. Ya Allah semoga Engkau memakbulkan doa anaknya yang berdosa ini; semoga makam AlMarhum menjadi satu taman dari taman-taman syurga, semoga Engkau Ya Allah menetapkan hatiku untuk terus beribadat kepadaMu sebagaimana keinginan AlMarhum buatku dan semoga Engkau memakbulkan doaku agar AlMarhum mendapat tempat di sisi para Rasul, para Anbiya dan pengikut-pengikut mereka di syurga Firdaus..Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Sekarang ku kongsikan kata-kata yang dinukilkan AlMarhum Ayahanda pada 13 Mac 2001 di buku BAKA edisi 2000 keluaran Maktab Sains, TANPA SEBARANG PEMBETULAN. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu wahai Ayahandaku sayang.
>>>>
Sekalung budi telah ku terima dengan perasaan jujur dan ikhlas dari para redaksi majalah Baka baru tahun ini dan dengan perasaan yang sama kucatatkan rasa penghargaan yang tinggi kerana kesempatan yang diberikan ini untuk membuat sedikit catatan yang dapat kuingat untuk tatapan bersama terutama kepada para guru dan penuntut di maktab ini.
Secara jujur kucatatkan di sini bahawa Maktab Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan setelah semua penuntut aliran Melayu ditiadakan di negara ini adalah merupakan maktab terbaik daripada enam buat sekolah rendah dan sekolah menengah tempatku ditugaskan selama 37 tahun aku menjawat kerjaya sebagai guru.
Kerjaya guru adalah cita-citaku semasa di bangku sekolah (sekolah rendah). Alhamdulillah cita-cita itu menjadi kenyataan pada 1 Julai, 37 tahun yang lalu dan pada waktu yang sama aku juga menjadi 'kuli' di sebuah kedai guru-guru di Bandar Brunei, sebelah pagi mengajar dan di sebelah petang kerja kuli sehingga aku terpilih memasuki Maktab Perguruan Melayu Brunei dua tahun kemudian.
Setelah lulus, aku bertugas di sebuah sekolah rendah di pendalaman. Ketika di sini aku mendapati bahawa aku bukanlah guru yang terbaik, walaupun aku mendapat sijil pangkat pertama di Maktab Perguruan dahulu. Namun aku berusaha untuk memperkayakan diri dengan ilmu, aku belajar sendirian untuk menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan dapat memperolehi keputusan cemerlang dengan pangkat satu.
Selepas itu, aku ditugaskan di sebuah sekolah rendah yang lain di pendalaman, aku masih berusaha dan sentiasa memikirkan untuk membuat sesuatu yang lebih baik, terutama untuk kejayaan murid yang diajar dan kawan seperjuangan yang mengajar di sekolah yang sama. Atas inisiatif bersama, sekolah tersebut berjaya mencapai kejayaan dalam beberapa bidang aktiviti seperti peraduan seni lukis dan sukan. Sehubungan dengan itu, guru besar sekolah tersebut yang telah ditukarkan ke sekolah rendah yang lain ingin membawa aku bersama bertukar ke sekolah tersebut, tetapi nazir yang berkenaan tidak membenarkan. Atas usaha persendirian aku telah lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di sini (sebanding O level ketika itu).
Aku ditukarkan bertugas di sebuah sekolah menengah di Daerah Belait. Di sini aku telah banyak memperolehi pengalaman melalui beberapa tugas yang diberikan seperti Ketua Badan Lawatan dan Pelancong, Ketua Rumah Sukan dan lain-lain. Alhamdulillah, berkat kerjasama kawan-kawan dan penuntut yang terlibat akhirnya kami berjaya membuat lawatan muhibah ke Labuan dan 'Rumah Melati' menjadi juara sukan tahunan di sekolah tersebut.
26 tahun yang lalu aku ditugaskan di Maktab Melayu dan seterusnya Maktab Sains. Jangka masa yang begitu lama mencatat banyak pengalaman pahit dan manis. Semua pengalaman tersebut dijadikan pemangkin untuk memberikan tugas yang terbaik kepada Maktab Sains dan warganya. Secara kebetulan aku tinggal berdekatan dengan maktab tersebut (1985 – 1991). Keadaan ini membolehkan aku bertugas tanpa mengira masa. Contohnya, ketika perarakan tanglong berjalan kaki, aku pernah bertugas dari mengawas penuntut untuk pergi ke Bandar, semasa perarakan, mengawasi penuntut untuk balik semula ke maktab dan menentukan semua penuntut balik ke tempat masing-masing selepas perarakan itu. Kadang-kadang terpaksa menghantar penuntut ke rumahnya walaupun ketika itu jam sudah lewat malam.
Penglibatanku dalam pasukan beruniform juga amat mencabar, kegiatan ini selalunya akan aktif semasa cuti persekolahan, ini bermakna demi kepentingan dan kejayaan pasukan dari maktab ini aku terpaksa mengorbankan sebahagian masa cuti persekolahan itu untuk bersama-sama dengan pasukan ini mengikuti pelbagai aktiviti seperti menembak dan latihan hutan yang jauh sehingga terpaksa menggunakan helikopter. Berkat kerjasama dan kegigihan semua ahli pasukan maktab ini pernah mencatat kejayaan sebagai juara dalam aktiviti perlawanan seperti bulu tangkis, bola tampar, menembak, merintis dan sukan tahunan.
Satu perkara yang ingin kucatatkan di sini mengenai maktab ini ialah tentang komitmen semua warganya;
Di kalangan guru, mereka mesra tanpa mengira bangsa dan agama, keadaan ini dapat mewujudkan suasana harmoni dan persefahaman dan sebarang projek/majlis dapat dijalankan dengan sempurna, malah mereka juga sangat bertanggungjawab terhadap pengajaran dan cara pembelajaran penuntut yang diajarnya. SYABAS DAN TERUSKAN.
Di kalangan kakitangan, terutama dalam bahagian pentadbiran, kutub khanah dan makmal. Malah kakitangan yang lain seperti tukang masak dan pembersih adalah merupakan kakitangan yang aktif dan sentiasa mendokong objektif yang hendak dicapai oleh Maktab Sains.
Di kalangan penuntut pula, mereka terdiri dari pelbagai golongan masyarakat, dari nelayan, petani, peniaga, pekerja pejabat, pasukan keselamatan, pentadbir malah kerabat di raja. Semasa belajar, mereka merupakan pelajar yang gigih dan dedikasi yang sentiasa menyahut cabaran masa dan mahu bersaing secara sehat antara satu dengan yang lain demi mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran masing-masing. Mereka tidak sombong dan cakap besar, apabila mereka memperolehi kejayaan cemerlang, sehingga boleh menjatuhkan maruah orang lain.
Mereka masih mengenang Maktab Sains dan guru-gurunya walaupun mereka sudah melanjutkan pelajaran keluar negeri atau sudah bekerja. Sikap serupa ini amat mengharukan saya. Sesungguhnya mereka bukanlah kacang lupakan kulit malah mempraktikkan budaya bak kata peribahasa ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’. Mudah-mudahan sikap seperti ini akan menjadi budaya berterusan yang menjadi amalan setiap pelajar Maktab Sains sebagai satu identiti yang kekal abadi.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas penghormatan yang diberikan kepada saya semasa saya bertugas di Maktab ini dan atas kerjasama yang semua pihak berikan kepada saya semasa saya menjalankan tugas sebagai Ketua Guru Disiplin, Ketua Guru Rumah, Ketua Jabatan, Penyelaras Kegiatan Luar Dan Penolong Pengetua (Hal Ehwal Penuntut) serta kepada semua guru yang terlibat mengajar anak-anak saya yang menuntut di maktab ini iaitu Mardziah ( 1987-1991 dan ke Maktab Duli), Mohd Arif (1992-1998 dan ke UK), Mohd Ismail (1993-1997 dan ke UK) dan Hamidah (1994-2000 dan ke UK).
Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, engkau ku ukir di hatiku.
Salam hormat
HAJI MOKHTAR BIN HJ MD YASSIN
13 MAC 2001
No comments:
Post a Comment