Saturday, 12 February 2011

Citation CIKGU HAJI MOKHTAR BIN HJ MD YASSIN

CIKGU HAJI MOKHTAR BIN HJ MD YASSIN

Tokoh Guru Cemerlang 1994

22hb September 1994

SEJARAH RINGKAS

  • lahir pada tahun 1945
  • menjadi guru pelatih pada tahun 1963
  • dilantik menjadi guru terlatih tahun 1968
  • mula bertugas di Maktab Sains tahun 1974
  • menjadi pemimpin pengakap tahun 1963-1975
  • dilantik menjadi penolong pegawai pelajaran sejak tahun 1978
  • menerima pingat pujian ketua pengakap tahun 1991
  • menghadiri kursus sijil pentadbiran di UBD tahun 1995-1996
  • dilantik penolong pengetua MSPSBS (hal ehwal pelajar) sejak tahun 1996
  • dikurniakan pangkat Kapten (Kadet Sekolah) pada Februari 1998.
  • Telah dikurniakan pingat kebesaran seperti PSP, PJK, PKL

Sejak mula berkhidmat, beliau telah menampakkan potensinya sebagai seorang guru yang berdedikasi, komited terhadap profesinya, berinisiatif dan berdaya sumber dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan yang berkaitan dengan hal-hal akademik, hal ehwal pelajar atau kegiatan luar sekolah.

Beliau seorang yang memiliki disiplin diri yang tinggi, komited terhadap tanggungjawab sebagai seorang guru untuk menimba nilai-nilai murni serta terpuji ke dalam diri anak-anak didiknya. Untuk itu beliau telah memilih pergerakan beruniform bagi menyalurkan sumbangan beliau untuk membentuk watak, perlakuan dan peribadi pelajar-pelajar di bawah pimpinan beliau.

Beliau sendiri menceburkan diri pada mula dalam pertubuhan pasukan pengakap sejak tahun 1963. Bakat kepimpinan yang ada pada beliau telah diberi kepercayaan untuk memimpin pasukan pengakap di sekolahnya tempat bertugas. Sejak itu beliau telah terlibat dalam pasukan berpakaian seragam hingga beliau bersara.

Sewaktu beliau bertugas di Maktab Sains, beliau telah dilantik menjadi guru pengawas kadet tentera. Beliau menggunakan setiap waktu yang terluang untuk menjalankan kegiatan-kegiatan pasukan kadet maktab. Tanpa mengenal lelah dan jemu, beliau melatih anggota-anggota pasukannya untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang berkenaan. Pasukan di bawah pimpinannya sentiasa menyerlah sebagai pasukan yang disegani kerana seringkali muncul sebagai juara dalam pertandingan menembak, berkawad, orienterring dan kegiatan-kegiatan perkhemahan dalam hutan. Pasukannya tekah mencapai tiga kali menerima penghormatan untuk mengetuai pasukan-pasukan kadet tentera dalam perayaan sambutan hari kebangsaan.

Penghargaan kepada kecemerlangan dalam memimpin pasukan kadet tentera, beliau telah menjadi ketua platon kadet tentera, angkatan bersenjata di raja Brunei dan diberi pangkat leftenan. Beliau juga dianugerahkan pingat jubli perak, angkatan bersenjata di raja Brunei pada tahun 1993.

Beliau juga tidak ketinggalan untuk memberikan sumbangan dalam bidang professional. Beliau dilantik ke dalam jawatankuasa buku-buku teks bahasa melayu sekolah-sekolah menengah dan jawatankuasa penyelaras sukatan bahasa melayu dan sastera untuk peperiksaan o dan a level. Beliau sentiasa berusaha untuk menyediakan bahan pengajaran MIB untuk pelajar maktab sendiri iaitu sebelum alat-alat/bahan yang ada sekarang itu wujud.

Beliau seorang guru yang memiliki ciri-ciri keperibadian yang tinggi dan patut dicontohi. Beliau tidak jemu-jemu memberi semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar untuk mencapai kecemerlangan dan segenap bidang memulai kesediaan untuk bekerja keras, menjaga disiplin diri dan menghormati etika kerja.

Pencapaian prestasi cemerlang yang membanggakan selama tempoh tujuh tahun iaitu dari tahun 1986 hingga 1991, maktab telah mencapai keputusan 100% lulus dalam pelajaran kesusasteraan melayu.

Guru ini sekarang telahpun bersara pada penghujung tahun 2000, walaubagaimanapun, beliau telah diambil semula bertugas secara bulan kesebulan di Institut Tahfiz AlQuran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Beliau ditugaskan mengajar Bahasa Melayu.

Bagi menghargai sumbangan yang cemerlang dalam bidang pendidikan, beliau telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai penerima anugerah tokoh guru cemerlang pada tahun 1994.

Bagi pihak pentadbiran, guru-guru dan pelajar-pelajar MSPSBS mengucapkan terima kasih atas sumbangan bakti Cikgu Haji kepada Maktab. Kami berdoa semoga Cikgu Haji akan sentiasa sihat walafiat. Amin.

No comments:

Post a Comment