Blog Yang Mulia Cikgu Haji Mokhtar bin Haji Md. Yassin
Sunday, 20 February 2011
10 Surah Yang Mujarab Dari Nabi Muhammad SAW
Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya’Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari yaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.
2. SURAH YAASIN
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur’an ialah Surah Yaasin yaitu jantung Al-Qur’an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur’an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.) Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “At-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mau pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan keinginan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keridhaan Allah, niscaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik,Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah Yaasin ini juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.
3. SURAH AT-DHUHAN
Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.
4. SURAH AL-WAQI’AH
Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi’ah pada tiap-tiap malam, insya’Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap setelah sholat Ashar, insya’Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Setelah sholat Isya’, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.
5. SURAH AL-KHAUTHAR
Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga setelah sholat Isya’ hingga dia tertidur, insya’Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.
6. SURAH AL-KHAAFIRUUN
Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur’an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.
7. SURAH AL-MULK
Satu lagi Surah dari Al-Qur’an yaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya’Allah, akan terselamat dari azab kubur.
8. SURAH AL-IKHLAS
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya : “Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur’an.” Siti Aisyah lalu berkata, “Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur’an sebanyak 30 juz itu.” Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, “Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur’an keseluruhannya.” Dari Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., “Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : “Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, yang artinya tinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat.”
9. SURAH AL-FALAQ
Siti Aisyah menerangkan : “Bahwa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.
10. SURAH AN-NAS
Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur’an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mau pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.
Saturday, 12 February 2011
Maktab Sains yang ku kenang - Tulis AlMarhum Cikgu Haji Mokhtar bin Hj. Md. Yassin
Assalamualaikum teman-teman sekalian. Ketika ku mendapat buku BAKA keluaran Maktab Sains Edisi tahun 2000, perasaanku masih terharu dengan pemergian Ayahanda Tersayang. Jiwaku masih sedih. Ya..aku bersabar..Ya aku tenang..Ya aku berzikir..kerana itulah ANTARA perkataan yang akan keluar dari rakan-rakan yang prihatin, rakan yang simpati. Di fikiranku cuma doa dan harapan bahawa kini Ayahanda tersayang sudah tidak merasa sakit lagi. Kewafatan beliau dalam usia yang masih dianggap 'muda' oleh sesetengah rakan beliau, menjadikanku lebih hiba. Usia 65 tahun bukanlah satu usia yang terlalu 'emas' namun inilah kata-kata yang menjadi pengubat rindu..pengubat dukaku..Allah lebih menyayanginya. Sering kufikirkan bahawa ramai yang pergi sebelum bapa..orang baik-baik..orang yang indaku sangka kan meninggal. Namun itulah hakikatnya, yang juga sering ku dengar; orang baik-baik sering dipanggil awal, apatah lagi ditambah dengan rintihanku yang gembira dalam duka; kita pa inda merasa sakit lagi..inda lagi kita sakit kepala. Ya Allah semoga Engkau memakbulkan doa anaknya yang berdosa ini; semoga makam AlMarhum menjadi satu taman dari taman-taman syurga, semoga Engkau Ya Allah menetapkan hatiku untuk terus beribadat kepadaMu sebagaimana keinginan AlMarhum buatku dan semoga Engkau memakbulkan doaku agar AlMarhum mendapat tempat di sisi para Rasul, para Anbiya dan pengikut-pengikut mereka di syurga Firdaus..Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Sekarang ku kongsikan kata-kata yang dinukilkan AlMarhum Ayahanda pada 13 Mac 2001 di buku BAKA edisi 2000 keluaran Maktab Sains, TANPA SEBARANG PEMBETULAN. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu wahai Ayahandaku sayang.
>>>>
Sekalung budi telah ku terima dengan perasaan jujur dan ikhlas dari para redaksi majalah Baka baru tahun ini dan dengan perasaan yang sama kucatatkan rasa penghargaan yang tinggi kerana kesempatan yang diberikan ini untuk membuat sedikit catatan yang dapat kuingat untuk tatapan bersama terutama kepada para guru dan penuntut di maktab ini.
Secara jujur kucatatkan di sini bahawa Maktab Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan setelah semua penuntut aliran Melayu ditiadakan di negara ini adalah merupakan maktab terbaik daripada enam buat sekolah rendah dan sekolah menengah tempatku ditugaskan selama 37 tahun aku menjawat kerjaya sebagai guru.
Kerjaya guru adalah cita-citaku semasa di bangku sekolah (sekolah rendah). Alhamdulillah cita-cita itu menjadi kenyataan pada 1 Julai, 37 tahun yang lalu dan pada waktu yang sama aku juga menjadi 'kuli' di sebuah kedai guru-guru di Bandar Brunei, sebelah pagi mengajar dan di sebelah petang kerja kuli sehingga aku terpilih memasuki Maktab Perguruan Melayu Brunei dua tahun kemudian.
Setelah lulus, aku bertugas di sebuah sekolah rendah di pendalaman. Ketika di sini aku mendapati bahawa aku bukanlah guru yang terbaik, walaupun aku mendapat sijil pangkat pertama di Maktab Perguruan dahulu. Namun aku berusaha untuk memperkayakan diri dengan ilmu, aku belajar sendirian untuk menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan dapat memperolehi keputusan cemerlang dengan pangkat satu.
Selepas itu, aku ditugaskan di sebuah sekolah rendah yang lain di pendalaman, aku masih berusaha dan sentiasa memikirkan untuk membuat sesuatu yang lebih baik, terutama untuk kejayaan murid yang diajar dan kawan seperjuangan yang mengajar di sekolah yang sama. Atas inisiatif bersama, sekolah tersebut berjaya mencapai kejayaan dalam beberapa bidang aktiviti seperti peraduan seni lukis dan sukan. Sehubungan dengan itu, guru besar sekolah tersebut yang telah ditukarkan ke sekolah rendah yang lain ingin membawa aku bersama bertukar ke sekolah tersebut, tetapi nazir yang berkenaan tidak membenarkan. Atas usaha persendirian aku telah lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di sini (sebanding O level ketika itu).
Aku ditukarkan bertugas di sebuah sekolah menengah di Daerah Belait. Di sini aku telah banyak memperolehi pengalaman melalui beberapa tugas yang diberikan seperti Ketua Badan Lawatan dan Pelancong, Ketua Rumah Sukan dan lain-lain. Alhamdulillah, berkat kerjasama kawan-kawan dan penuntut yang terlibat akhirnya kami berjaya membuat lawatan muhibah ke Labuan dan 'Rumah Melati' menjadi juara sukan tahunan di sekolah tersebut.
26 tahun yang lalu aku ditugaskan di Maktab Melayu dan seterusnya Maktab Sains. Jangka masa yang begitu lama mencatat banyak pengalaman pahit dan manis. Semua pengalaman tersebut dijadikan pemangkin untuk memberikan tugas yang terbaik kepada Maktab Sains dan warganya. Secara kebetulan aku tinggal berdekatan dengan maktab tersebut (1985 – 1991). Keadaan ini membolehkan aku bertugas tanpa mengira masa. Contohnya, ketika perarakan tanglong berjalan kaki, aku pernah bertugas dari mengawas penuntut untuk pergi ke Bandar, semasa perarakan, mengawasi penuntut untuk balik semula ke maktab dan menentukan semua penuntut balik ke tempat masing-masing selepas perarakan itu. Kadang-kadang terpaksa menghantar penuntut ke rumahnya walaupun ketika itu jam sudah lewat malam.
Penglibatanku dalam pasukan beruniform juga amat mencabar, kegiatan ini selalunya akan aktif semasa cuti persekolahan, ini bermakna demi kepentingan dan kejayaan pasukan dari maktab ini aku terpaksa mengorbankan sebahagian masa cuti persekolahan itu untuk bersama-sama dengan pasukan ini mengikuti pelbagai aktiviti seperti menembak dan latihan hutan yang jauh sehingga terpaksa menggunakan helikopter. Berkat kerjasama dan kegigihan semua ahli pasukan maktab ini pernah mencatat kejayaan sebagai juara dalam aktiviti perlawanan seperti bulu tangkis, bola tampar, menembak, merintis dan sukan tahunan.
Satu perkara yang ingin kucatatkan di sini mengenai maktab ini ialah tentang komitmen semua warganya;
Di kalangan guru, mereka mesra tanpa mengira bangsa dan agama, keadaan ini dapat mewujudkan suasana harmoni dan persefahaman dan sebarang projek/majlis dapat dijalankan dengan sempurna, malah mereka juga sangat bertanggungjawab terhadap pengajaran dan cara pembelajaran penuntut yang diajarnya. SYABAS DAN TERUSKAN.
Di kalangan kakitangan, terutama dalam bahagian pentadbiran, kutub khanah dan makmal. Malah kakitangan yang lain seperti tukang masak dan pembersih adalah merupakan kakitangan yang aktif dan sentiasa mendokong objektif yang hendak dicapai oleh Maktab Sains.
Di kalangan penuntut pula, mereka terdiri dari pelbagai golongan masyarakat, dari nelayan, petani, peniaga, pekerja pejabat, pasukan keselamatan, pentadbir malah kerabat di raja. Semasa belajar, mereka merupakan pelajar yang gigih dan dedikasi yang sentiasa menyahut cabaran masa dan mahu bersaing secara sehat antara satu dengan yang lain demi mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran masing-masing. Mereka tidak sombong dan cakap besar, apabila mereka memperolehi kejayaan cemerlang, sehingga boleh menjatuhkan maruah orang lain.
Mereka masih mengenang Maktab Sains dan guru-gurunya walaupun mereka sudah melanjutkan pelajaran keluar negeri atau sudah bekerja. Sikap serupa ini amat mengharukan saya. Sesungguhnya mereka bukanlah kacang lupakan kulit malah mempraktikkan budaya bak kata peribahasa ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’. Mudah-mudahan sikap seperti ini akan menjadi budaya berterusan yang menjadi amalan setiap pelajar Maktab Sains sebagai satu identiti yang kekal abadi.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas penghormatan yang diberikan kepada saya semasa saya bertugas di Maktab ini dan atas kerjasama yang semua pihak berikan kepada saya semasa saya menjalankan tugas sebagai Ketua Guru Disiplin, Ketua Guru Rumah, Ketua Jabatan, Penyelaras Kegiatan Luar Dan Penolong Pengetua (Hal Ehwal Penuntut) serta kepada semua guru yang terlibat mengajar anak-anak saya yang menuntut di maktab ini iaitu Mardziah ( 1987-1991 dan ke Maktab Duli), Mohd Arif (1992-1998 dan ke UK), Mohd Ismail (1993-1997 dan ke UK) dan Hamidah (1994-2000 dan ke UK).
Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, engkau ku ukir di hatiku.
Salam hormat
HAJI MOKHTAR BIN HJ MD YASSIN
13 MAC 2001
Citation CIKGU HAJI MOKHTAR BIN HJ MD YASSIN
CIKGU HAJI MOKHTAR BIN HJ MD YASSIN
Tokoh Guru Cemerlang 1994
22hb September 1994
SEJARAH RINGKAS
- lahir pada tahun 1945
- menjadi guru pelatih pada tahun 1963
- dilantik menjadi guru terlatih tahun 1968
- mula bertugas di Maktab Sains tahun 1974
- menjadi pemimpin pengakap tahun 1963-1975
- dilantik menjadi penolong pegawai pelajaran sejak tahun 1978
- menerima pingat pujian ketua pengakap tahun 1991
- menghadiri kursus sijil pentadbiran di UBD tahun 1995-1996
- dilantik penolong pengetua MSPSBS (hal ehwal pelajar) sejak tahun 1996
- dikurniakan pangkat Kapten (Kadet Sekolah) pada Februari 1998.
- Telah dikurniakan pingat kebesaran seperti PSP, PJK, PKL
Sejak mula berkhidmat, beliau telah menampakkan potensinya sebagai seorang guru yang berdedikasi, komited terhadap profesinya, berinisiatif dan berdaya sumber dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan yang berkaitan dengan hal-hal akademik, hal ehwal pelajar atau kegiatan luar sekolah.
Beliau seorang yang memiliki disiplin diri yang tinggi, komited terhadap tanggungjawab sebagai seorang guru untuk menimba nilai-nilai murni serta terpuji ke dalam diri anak-anak didiknya. Untuk itu beliau telah memilih pergerakan beruniform bagi menyalurkan sumbangan beliau untuk membentuk watak, perlakuan dan peribadi pelajar-pelajar di bawah pimpinan beliau.
Beliau sendiri menceburkan diri pada mula dalam pertubuhan pasukan pengakap sejak tahun 1963. Bakat kepimpinan yang ada pada beliau telah diberi kepercayaan untuk memimpin pasukan pengakap di sekolahnya tempat bertugas. Sejak itu beliau telah terlibat dalam pasukan berpakaian seragam hingga beliau bersara.
Sewaktu beliau bertugas di Maktab Sains, beliau telah dilantik menjadi guru pengawas kadet tentera. Beliau menggunakan setiap waktu yang terluang untuk menjalankan kegiatan-kegiatan pasukan kadet maktab. Tanpa mengenal lelah dan jemu, beliau melatih anggota-anggota pasukannya untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang berkenaan. Pasukan di bawah pimpinannya sentiasa menyerlah sebagai pasukan yang disegani kerana seringkali muncul sebagai juara dalam pertandingan menembak, berkawad, orienterring dan kegiatan-kegiatan perkhemahan dalam hutan. Pasukannya tekah mencapai tiga kali menerima penghormatan untuk mengetuai pasukan-pasukan kadet tentera dalam perayaan sambutan hari kebangsaan.
Penghargaan kepada kecemerlangan dalam memimpin pasukan kadet tentera, beliau telah menjadi ketua platon kadet tentera, angkatan bersenjata di raja Brunei dan diberi pangkat leftenan. Beliau juga dianugerahkan pingat jubli perak, angkatan bersenjata di raja Brunei pada tahun 1993.
Beliau juga tidak ketinggalan untuk memberikan sumbangan dalam bidang professional. Beliau dilantik ke dalam jawatankuasa buku-buku teks bahasa melayu sekolah-sekolah menengah dan jawatankuasa penyelaras sukatan bahasa melayu dan sastera untuk peperiksaan o dan a level. Beliau sentiasa berusaha untuk menyediakan bahan pengajaran MIB untuk pelajar maktab sendiri iaitu sebelum alat-alat/bahan yang ada sekarang itu wujud.
Beliau seorang guru yang memiliki ciri-ciri keperibadian yang tinggi dan patut dicontohi. Beliau tidak jemu-jemu memberi semangat dan dorongan kepada pelajar-pelajar untuk mencapai kecemerlangan dan segenap bidang memulai kesediaan untuk bekerja keras, menjaga disiplin diri dan menghormati etika kerja.
Pencapaian prestasi cemerlang yang membanggakan selama tempoh tujuh tahun iaitu dari tahun 1986 hingga 1991, maktab telah mencapai keputusan 100% lulus dalam pelajaran kesusasteraan melayu.
Guru ini sekarang telahpun bersara pada penghujung tahun 2000, walaubagaimanapun, beliau telah diambil semula bertugas secara bulan kesebulan di Institut Tahfiz AlQuran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Beliau ditugaskan mengajar Bahasa Melayu.
Bagi menghargai sumbangan yang cemerlang dalam bidang pendidikan, beliau telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai penerima anugerah tokoh guru cemerlang pada tahun 1994.
Bagi pihak pentadbiran, guru-guru dan pelajar-pelajar MSPSBS mengucapkan terima kasih atas sumbangan bakti Cikgu Haji kepada Maktab. Kami berdoa semoga Cikgu Haji akan sentiasa sihat walafiat. Amin.